Gaji naik tapi tak cukup

Duit, duit... dimana kau duit. Itulah lagu-lagu yang bermain di kepala setiap pekerja di Malaysia. Tak ketinggalan juga aku. Lagi kita bekerja, lagi tak cukup duit. Bukan aku sahaja, tapi kawan-kawan yang bujang pun mengeluh duit tak cukup.

Aku selalu bagitau mereka, masa zaman aku bujang dulu, aku dapat simpan sebulan hampir RM1k dalam bank. Dan ketika itu gaji aku hanya RM1.7k sebulan. Sebulan aku hanya perlukan RM 200 untuk sewa dan utiliti (duduk dengan kawan-kawan) RM150 untuk minyak dan kenderaan dan selebihnya untuk makan dan lain-lain. Aku agak beruntung dapat bekerja di institusi pengajian, yang mana kursus-kursus dewasa di Malaysia komponen utamanya adalah MAKAN. Jadi aku dapat jimat banyak duit dengan makan.

Lainlah orang berkeluarga, sewa rumah kena bayar penuh, RM500 pun paling murah. Itupun kalau sanggup bersempitlah. Perbelanjaan makan kena ingat kat keluarga, jadi kos makin meningkat. Jadi selepas berkeluarga, simpanan aku cuma tinggal RM300 je sebulan. Syukur, Alhamdulillah... dapat gak menyimpan.

Alhamdulillah, di tempat aku makan gaji sebelum ini, kami dapat kenaikan gaji sekurang-kurangnya 5% setiap tahun. Dan ketika itu jugalah kawan-kawan aku juga mengeluh. Gaji naik tapi tak cukup! Hakikatnya kenaikan 5% hanya membuat kita lebih miskin, terutamanya bila kerajaan tidak dapat mengawal inflasi. Cuba renungkan beberapa fakta di bawah:
  1. Gula: RM1.45/kg (Jan 2010) kepada RM2.30 (Mei 2011) – 58% dalam 18 bulan.
  2. Telur: Gred B RM9/30biji (Sep 2010) kepada RM10/30biji (sekarang) - 11% kenaikan.
  3. Tarif Elektrik: kenaikan purata 7.12% pada bulan Jun 2011.
  4. Teh Tarik dan Kopi Susu: Kenaikan RM0.10 hingga RM0.20 (9.1% hingga 18.2%).
  5. Roti Gardenia: Kenaikan 5-14% (2011).
  6. Cukai Perkhidmatan: Kenaikan 1% (cukai tambahan RM720 juta untuk Kerajaan Persekutuan).
  7. Bawang: Kenaikan 17% (Dis 2010).
  8. Milo: Kenaikan 5% pada suku pertama 2011, 4% pada setengah tahun kedua 2011.
  9. Nescafe: Kenaikan 6% pada setengah tahun kedua 2011, di mana harga sudah >RM20/300gm.
  10. Semua makanan kegemaran ramai seperti roti canai, char koay teow dan nasi kandar makin kecil bahagiannya walaupun harga tetap sama.
Secara kasarnya perbelanjaan kasar naik 13%, jadi gaji kena naik lebih dari 13%lah.

Aku pernah buat perbandingan pada tahun 2008 dan beberapa lagi post (malas nak cari). Perbandingan mudah yang pernah aku buat di facebook dulu ialah dengan sarapan di kedai mamak. Itu pun dah cukup buat kita rasa lebih miskin. Bayang tahun 2001 dulu aku cuma perlu RM2 untuk makan 2 keping roti canai dan segelas teh tarik, tapi 2011 aku perlu RM3 untuk makan benda yang sama. Itu pun bahagian dah di kurangkan.

Hmm... fikir-fikirkanlah...

2 komen