BonusCoin Banner

Rabu, Julai 18, 2012

Antara Isteri dan Emak


Sungguh berat nak tulis posting-posting sebegini. Namun bila memikirkan ramadhan yang hampir tiba, tidak tahu pula bila lagi kita akan bertemu denganNya. Aku gagahkan juga diri ini untuk meluah apa yang tersemat di hati. Bagaipun begitu, aku tidak nafikan yang mana entri-entri di blog sebelum ini ada kaitannya dengan apa yang tersirat di hati. Aku hanya berharap, bara yang dipendam lama akhirnya akan menghasilkan berlian. Mintalah di jauhkan daripada bara yang dipendam menjadi api, yang akhirnya meninggalkan abu dan asap sahaja.

Aku tahu, ini semua bukanlah satu masalah besar pun. Lagi mana aku percaya, Allah swt tidak akan memberikan ujian kepada mereka yang tidak mampu menghadapinya. Bila di fikir-fikir, masing-masing menjadi diri mereka sepertimana yang dijadikan Allah swt. Masing-masing menjadi ibu, melindungi dan risau terhadap anak masing-masing.

Bila terjadi perkara-perkara begini, barulah aku faham apa yang di maksudkan 'ditelan mati emak, diluah mati bapak'. Buat apa pun serba tak kena. Kedua-dua pihak aku tidak dapat berkata apa-apa.  Lelaki dan wanita memang ada bezanya. Menurut John Gray (penulis 'Men are from Mars, Women are from Venus') lelaki berfikiran secara analisis dan wanita berfikir secara intuisi, lagi mana lelaki juga berkata-kata menyampaikan fakta dan informasi, berbanding wanita berkata-kata seolah bernafas. Oleh itu, diam adalah sebaik-baik bicara buat masa ini.

Cuma hati kecil ini agak terkilan, bila mana seseorang yang kita kenali tidak pernah lupa mendirikan solat 5 waktu, tak cukup dengan itu membaca al-quran serta solat-solat sunat seperti tahajud dan dhuha ketika lapang boleh meluah kan hati yang kurang enak di laman muka buku. Sesuatu yang masih tidak dapat aku cerna dan terima. Biarpun kata-kata itu tidak di tujukan kepada sesiapa. Namun maksudnya sudah jelas.

Sepanjang pagi ini, banyak posting-posting panduan yang aku baca. Sekadar untuk melembutkan hati daripada terus menaip-naip apa yang tak sepatutnya. Alhamdulillah, ada satu cerita yang menarik minat aku untuk di kongsikan.
Kewajipan anak lelaki, pertama kepada Allah, kedua rasul, ketiga emak dan emak mentua, keempat bapa dan bapa mentua dan kelima baru isteri. Isteri kena faham, kalau dia sayang dan melebihkan ibu bapa, itu memang wajar. Sebaliknya bagi isteri, yang pertama Allah, kedua rasul dan ketiga suami. Perasaan mentua perlu dijunjung kerana mereka berhak ke atas menantu.

Peristiwa Nabi Ibrahim dan anak menantunya perlu dijadikan teladan. Nabi Ibrahim pergi menziarahi menantunya ketika puteranya, Nabi Ismail tiada di rumah. Isteri Nabi Ismail belum pernah bertemu bapa mertuanya, Nabi Ibrahim. Apabila sampai di rumah anaknya itu, terjadilah dialog antara Nabi Ibrahim dan menantunya.

Nabi Ibrahim: Siapakah kamu?

Menantu: Aku isteri Ismail.

Nabi Ibrahim: Di manakah suamimu, Ismail?

Menantu: Dia pergi berburu.

Nabi Ibrahim: Bagaimanakah keadaan hidupmu sekeluarga?

Menantu: Oh, kami semua dalam kesempitan dan (mengeluh) tidak pernah senang dan lapang.

Nabi Ibrahim: Baiklah! Jika suamimu balik, sampaikan salamku padanya. Katakan padanya, tukar tiang pintu rumahnya (sebagai kiasan supaya menceraikan isterinya).

Menantu: Ya, baiklah.

Setelah Nabi Ismail pulang daripada berburu, isterinya terus menceritakan tentang orang tua yang telah singgah di rumah mereka.

Nabi Ismail: Adakah apa-apa yang ditanya oleh orang tua itu?

Isteri: Dia bertanya tentang keadaan hidup kita.

Nabi Ismail: Apa jawapanmu?

Isteri: Aku ceritakan kita ini orang yang susah. Hidup kita ini selalu dalam kesempitan, tidak pernah senang.

Nabi Ismail: Adakah dia berpesan apa-apa?

Isteri: Ya ada. Dia berpesan supaya aku menyampaikan salam kepadamu serta meminta kamu menukarkan tiang pintu rumahmu.

Nabi Ismail: Sebenarnya dia itu ayahku. Dia menyuruh kita berpisah. Sekarang kembalilah kau kepada keluargamu.

Ismail pun menceraikan isterinya yang suka merungut, tidak bertimbang rasa serta tidak bersyukur kepada takdir Allah SWT. Sanggup pula mendedahkan rahsia rumah tangga kepada orang luar. Tidak lama selepas itu, Nabi Ismail berkahwin lagi. Setelah sekian lama, Nabi Ibrahim datang lagi ke Makkah dengan tujuan menziarahi anak dan menantunya. Berlakulah lagi pertemuan antara mertua dan menantu yang saling tidak mengenali.

Nabi Ibrahim: Di mana suamimu?

Menantu: Dia tiada dirumah. Dia sedang memburu.

Nabi Ibrahim: Bagaimana keadaan hidupmu sekeluarga? Mudah-mudahan dalam kesenangan?

Menantu: Syukurlah kepada tuhan, kami semua dalam keadaan sejahtera, tiada apa yang kurang.

Nabi Ibrahim: Baguslah kalau begitu.

Menantu: Silalah duduk sebentar. Boleh saya hidangkan sedikit makanan.

Nabi Ibrahim: Apa pula yang ingin kamu hidangkan?

Menantu: Ada sedikit daging, tunggulah saya sediakan minuman dahulu.

Nabi Ibrahim: (Berdoa) Ya Allah! Ya Tuhanku! Berkatilah mereka dalam makan minum mereka. (Berdasarkan peristiwa ini, Rasulullah beranggapan keadaan mewah negeri Makkah adalah berkat doa Nabi Ibrahim).

Nabi Ibrahim: Baiklah, nanti apabila suamimu pulang, sampaikan salamku kepadanya. Suruhlah dia menetapkan tiang pintu rumahnya (sebagai kiasan untuk mengekalkan isteri Nabi Ismail).

Apabila Nabi Ismail pulang daripada berburu, seperti biasa dia bertanya sekiranya sesiapa datang mencarinya.

Nabi Ismail: Ada sesiapa datang semasa aku tiada di rumah?

Isteri: Ya, ada. Seorang tua yang baik rupanya dan perwatakannya sepertimu.

Nabi Ismail: Apa katanya?

Isteri: Dia bertanya tentang keadaan hidup kita.

Nabi Ismail: Apa jawapanmu?

Isteri: Aku nyatakan kepadanya hidup kita dalam keadaan baik, tiada apapun yang kurang. Aku ajak juga dia makan dan minum.

Nabi Ismail: Adakah dia berpesan apa-apa?

Isteri: Ada, dia berkirim salam buatmu dan menyuruh kamu mengekalkan tiang pintu rumahmu.

Nabi Ismail: Oh, begitu. Sebenarnya dialah ayahku. Tiang pintu yang dimaksudkannya itu ialah dirimu yang dimintanya untuk aku kekalkan.

Isteri: Alhamdulillah, syukur.

Pengajaran daripada kisah ini adalah mentua mempunyai hak untuk memberikan pandangan terhadap menantunya. Menantu sepatutnya memberikan contoh yang terbaik kepada mentua demi menjaga keharmonian rumahtangga. Suami akan lebih mengasihi isterinya, jika isterinya menyayangi ibu bapa suaminya. 
Sumber : Minda Islami
Moga-moga dapatlah jadi sedikit panduan buat diri aku, insya-Allah

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...