Saya Bukan Web Developer, Tapi Saya Cuba Bina Rumah Digital Untuk KUAT

Saya bukan web developer tetapi saya cuba bina rumah digital untuk KUAT

Saya bukan web developer.

Ya, latar belakang saya memang ada dalam bidang IT. Saya juga memang suka mencuba benda-benda berkaitan teknologi. Tapi kalau orang tanya sama ada saya seorang programmer atau professional web designer, jawapan saya mudah.

Bukan.

Tapi hari ini, bila saya buka website KUAT dan tengok apa yang sudah ada di dalamnya, ada juga rasa puas hati.

Bukan sebab website itu paling cantik atau paling canggih.

Tetapi kerana sebelum ini, “rumah” itu sebenarnya tak ada.

KUAT Dah Lama Ada, Tapi Nak Cari Ceritanya Di Mana?

Koperasi Usahawan Angkatan Terendak (KUAT) Berhad bukan baru ditubuhkan semalam.

Sudah ada anggota. Sudah ada mesyuarat. Ada program, aktiviti, peluang perniagaan dan macam-macam perkara yang telah dibuat.

Tetapi saya mula terfikir satu perkara.

“KUAT ni sebenarnya dah buat apa?”

Di mana kita nak suruh dia cari?

Dalam WhatsApp?

Scroll Facebook sampai beberapa tahun ke belakang?

Cari poster lama dalam telefon?

Atau tanya seorang demi seorang ALK yang masih ingat?

WhatsApp memang bagus untuk komunikasi. Facebook dan media sosial pula bagus untuk hebahan.

Tetapi semuanya bergerak terlalu pantas.

Hari ini kita post. Minggu depan sudah tenggelam.

Sebab itu saya rasa KUAT perlukan satu tempat yang lebih kekal — satu rumah digital yang anggota dan alumni boleh datang semula bila-bila masa untuk melihat siapa kami, apa yang sedang dibuat dan bagaimana mereka boleh turut serta.

Dari situlah projek kecil ini bermula.

Saya Mulakan Dengan Homepage

Page pertama yang saya bina ialah homepage.

Tak ada cerita hebat pun.

Buka WordPress. Buka Elementor. Cuba satu section. Tengok hasil. Tak kena, ubah lagi.

Kadang-kadang apa yang nampak cantik di desktop jadi pelik bila buka melalui telefon.

Betulkan.

Kemudian jumpa pula benda lain yang tak kena.

Betulkan lagi.

Saya tak bermula dengan satu master plan yang sempurna tentang bagaimana sebuah portal koperasi sepatutnya dibina.

Saya bermula dengan satu soalan yang jauh lebih mudah:

Apa yang orang perlu tahu bila mereka sampai di sini?

Homepage menjadi batu pertama.

Selepas itu barulah saya sedar, kalau sudah ada rumah, kita perlukan bilik-biliknya pula.

Daripada Website Kepada Sesuatu Yang Boleh Digunakan

Sedikit demi sedikit, website KUAT mula berkembang.

Ada halaman tentang KUAT.

Ada maklumat keanggotaan.

Ada program dan perniagaan.

Ada borang.

Ada halaman khas untuk program yang sedang berjalan.

Pada ketika itu saya mula nampak perbezaannya.

Website ini tak sepatutnya menjadi sekadar company profile online yang orang buka sekali, baca “About Us”, kemudian tutup.

Ia sepatutnya boleh digunakan.

Orang datang kerana nak tahu sesuatu.

Kemudian dia boleh buat sesuatu.

Itu jauh lebih berguna.

Program Korban Antara Contoh Awal

Salah satu contoh yang saya suka ialah Program Korban KUAT.

Tahun ini merupakan tahun ketiga saya membantu mempromosikan ibadah qurban. Bezanya, kali ini saya melakukannya melalui KUAT dengan kerjasama EZ Qurban.

Saya pernah ceritakan pengalaman itu dalam tulisan:

Dulu kita mungkin hanya edar poster dan link melalui WhatsApp.

Sekarang kita boleh ada satu tempat yang menerangkan program, membawa orang kepada maklumat yang mereka perlukan dan seterusnya kepada tindakan.

Nampak macam perkara kecil.

Tetapi bagi saya, di situlah website mula mempunyai fungsi sebenar.

Page Keanggotaan: Antara Yang Paling Saya Puas Hati

Kalau ditanya page mana yang saya paling puas hati sekarang, salah satunya ialah Keanggotaan.

Sebabnya mudah.

Ini antara page paling penting untuk masa depan koperasi.

Seseorang mungkin pertama kali dengar nama KUAT daripada kawan.

Dia Google atau dapat link.

Masuk website.

Baca siapa KUAT.

Faham apa manfaat menjadi anggota.

Dan kalau berminat, dia boleh terus mengambil langkah untuk mendaftar.

Kenal  →  Faham  →  Berminat  →  Daftar

Bagi saya, itu jauh lebih bernilai daripada sekadar mempunyai website yang cantik.

Website mula bekerja untuk organisasi.

Kemudian Datang FiDAT

Satu lagi page yang saya paling puas hati ialah FiDAT 2026 — Family Day ANSARA Terendak 2026.

Yang ini memang seronok dibina.

Sebab FiDAT bukan sekadar satu page.

Ada identiti program.

Ada maklumat acara.

Ada aktiviti.

Ada harga.

Ada FAQ.

Ada borang pendaftaran.

Dan semuanya perlu disusun supaya orang yang pertama kali melihatnya boleh faham apa itu FiDAT tanpa perlu bertanya sepuluh soalan dalam WhatsApp.

Bila page itu mula siap dan pendaftaran pula sudah boleh dibuat secara online, saya mula nampak sesuatu yang lebih besar.

Kita bukan lagi sekadar buat website.

Kita sedang membina satu sistem kecil yang membantu sebuah program bergerak.

Website KUAT yang mula bekerja melalui halaman Keanggotaan dan FiDAT 2026

Mungkin satu hari nanti saya kena tulis satu post khas tentang bagaimana page FiDAT ini dibina dari kosong sampai pendaftaran dibuka.

Cerita itu pun panjang. 😅

Kos Development: RM0

Baru-baru ini saya perlu mengemukakan kos hosting website KUAT untuk kelulusan ALK.

Hosting memang ada kos.

Domain ada kos.

Ada perkara tertentu yang memang perlu dibayar untuk memastikan website terus hidup.

Tetapi untuk development website KUAT, kosnya RM0.

Saya tidak mengenakan bayaran kepada KUAT untuk membangunkannya.

Bukan kerana masa tidak mempunyai nilai.

Masa sebenarnya antara benda paling mahal yang kita ada.

Tetapi saya melihatnya sebagai salah satu bentuk sumbangan yang saya boleh beri kepada koperasi.

Saya mungkin bukan orang yang mempunyai semua kemahiran yang diperlukan oleh sebuah koperasi.

Tetapi ini antara perkara yang saya tahu saya boleh buat.

Jadi masa dan apa yang saya tahu, saya sumbangkan di sini.

Sekarang Tak Semestinya Kena Tahu Semuanya

Satu perkara yang saya semakin sedar ialah teknologi hari ini sudah banyak berubah.

Dulu kalau nak bina sesuatu di internet, kita bayangkan coding yang panjang, database, server dan macam-macam benda teknikal.

Sekarang kita ada WordPress.

Ada Elementor.

Ada Fillout.

Ada AI yang boleh membantu kita fikir struktur, semak ayat, cari kesilapan dan memberikan idea bila kita stuck.

Ini bukan bermaksud kita tekan satu butang dan semuanya terus siap.

Masih kena belajar.

Masih kena cuba.

Masih akan tersalah.

Kadang-kadang satu benda yang sepatutnya mengambil masa lima minit boleh jadi sejam sebab tak tahu setting mana yang salah.

Tetapi barrier untuk mula sudah jauh lebih rendah.

Saya rasa itu yang penting.

Jangan tunggu sampai tahu semuanya baru nak buat.

Kadang-kadang kita belajar kerana kita sudah mula buat.

Pada Umur 46, Nampaknya Saya Masih Suka Jadi Beginner

Bila fikir balik, kebelakangan ini banyak pula cerita hidup saya berkisar tentang menjadi beginner semula.

Dalam pekerjaan baru di Dubai pun saya sedang melalui perkara yang sama.

Daripada orang yang tak gemar bercakap melalui telefon, saya sekarang boleh melalui hari dengan begitu banyak panggilan dan belajar menerima perkataan “No” sebagai sebahagian daripada rutin.

Saya ceritakan pengalaman itu dalam:

Website pula mengajar saya perkara lain.

Kita tak perlu mempunyai title tertentu untuk belajar sesuatu.

Tak perlu tunggu orang panggil kita “expert”.

Kalau ada masalah yang perlu diselesaikan, cuba.

Kalau tak tahu, belajar.

Kalau rosak, cari jalan betulkan.

Kemudian cuba lagi.

Sebenarnya Kita Sedang Menyimpan Memori

Semakin lama saya membina website KUAT, semakin saya sedar fungsi sebenarnya mungkin lebih besar daripada yang saya fikir pada awalnya.

Kita bukan sekadar menyimpan maklumat.

Kita sedang menyimpan institutional memory.

Hari ini seseorang dalam ALK mungkin tahu sejarah sesuatu keputusan.

Lima tahun lagi mungkin orang itu sudah tidak memegang jawatan.

Poster boleh hilang.

Telefon boleh bertukar.

WhatsApp group boleh senyap.

Facebook post boleh tenggelam beratus-ratus post ke bawah.

Tetapi kalau kita mula mendokumentasikan semuanya dengan baik, generasi pengurusan seterusnya sekurang-kurangnya mempunyai tempat untuk bermula.

Mereka tidak perlu bermula daripada kosong.

Dan mungkin itulah sebenarnya nilai terbesar sebuah rumah digital.

Lepas KUAT, ANSARA Terendak Pula?

Ini pula idea yang mula bermain dalam kepala saya.

Kalau KUAT boleh mempunyai sebuah rumah digital, kenapa tidak ANSARA Terendak?

Bayangkan satu tempat yang boleh mengumpulkan sejarah, aktiviti alumni, program, gambar lama, cerita batch dan segala macam perkara yang sekarang berselerak di WhatsApp, Facebook, Google Drive dan telefon masing-masing.

ADAT.

DRAT.

FiDAT.

Aktiviti alumni.

Cerita lama maktab.

Cerita orang-orang yang pernah melalui Terendak.

Bukan untuk menggantikan media sosial.

Tetapi sebagai arkib hidup komuniti kita sendiri.

Konsep rumah digital dan arkib ANSARA Terendak untuk menyimpan sejarah alumni

Entahlah.

Mungkin itu projek seterusnya.

Buat masa ini, rumah digital KUAT pun masih banyak ruang yang boleh ditambah dan diperbaiki.

Website tidak pernah betul-betul “siap”.

Organisasi bergerak, jadi website pun akan terus bergerak bersamanya.

Tapi bila saya tengok kembali daripada satu homepage kosong kepada apa yang sudah ada sekarang, saya rasa perjalanan kecil ini berbaloi.

Saya bukan web developer.
Saya cuma nampak sesuatu yang belum ada, kemudian cuba membinanya.

Dan mungkin kadang-kadang, itu sahaja yang kita perlukan untuk bermula.

ANSARA Terendak punya rumah digital pula?

Tapi satu-satu dulu. 😅

Ulasan