Ada perkara yang kita jarang fikir apabila mula hidup di luar negara.
Kita fikir tentang visa, rumah, kerja, sekolah anak, kereta, akaun bank dan bermacam-macam perkara untuk meneruskan kehidupan.
Tetapi bagaimana kalau berlaku sesuatu yang tidak dijangka?
Siapa yang perlu kita hubungi? Apa yang keluarga perlu lakukan? Bagaimana dengan dokumen, aset, wasiat dan urusan sekiranya berlaku kematian ketika kita berada di negara orang?
Pada Ahad, 27 September 2026, saya berkesempatan menghadiri Taklimat Konsular dan Pengurusan Kematian Rakyat Malaysia di Emiriah Arab Bersatu (UAE) anjuran Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai dengan kerjasama PERWAKILAN Dubai.
Program berlangsung di Sydney Hall, Park Regis Kris Kin Hotel, Bur Dubai. Mengikut jemputan, program dijadualkan dari pukul 10.00 pagi hingga 1.00 tengah hari.
Sesi pada hari tersebut bermula sekitar 10.15 pagi dengan ucapan pembukaan oleh Consul General Malaysia di Dubai, En. Riaz bin Abdul Razak.
Difahamkan sekitar 80 orang telah mendaftar dan jumlah kehadiran rakyat Malaysia pada hari tersebut dijangka melebihi 100 orang.
Bagi saya, program sebegini bukan sekadar program komuniti.
Banyak perkara berkaitan Konsulat kelihatan seperti sesuatu yang tidak kita perlukan- sehinggalah tiba hari kita benar-benar memerlukannya.
Sejak membina kehidupan di UAE, saya sendiri banyak belajar semula tentang kehidupan sebagai rakyat Malaysia di negara orang. Saya pernah menulis sedikit mengenainya dalam catatan Pada Umur 46, Saya Jadi Orang Baru Semula.
Sesi Pertama: Sebenarnya Apa Yang Konsulat Boleh Bantu?
Sesi pertama disampaikan oleh En. Muhammad Imran Muhamad Sedek, Head of Chancery / Consul di Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai.
Taklimat beliau membawa kami melalui tanggungjawab dan fungsi pejabat konsular serta beberapa urusan yang mungkin diperlukan oleh rakyat Malaysia ketika berada di luar negara.
Saya tidak snap semua slaid. Saya cuma ambil gambar perkara yang saya rasa menarik dan mungkin berguna untuk dirujuk semula.
Antaranya ialah permohonan Certificate of Good Conduct (CGC) atau Sijil Kelakuan Baik.
Permohonan dibuat secara dalam talian melalui e-Konsular dan berdasarkan penerangan dalam sesi tersebut, proses tapisan keselamatan oleh pihak berkuasa Malaysia boleh mengambil masa sehingga 60 hari.
Maknanya, kalau dokumen ini diperlukan untuk pekerjaan atau urusan rasmi, jangan tunggu sehingga saat akhir baru hendak memohon.
Turut diterangkan ialah perkembangan berkaitan urusan perkahwinan rakyat Malaysia beragama Islam yang tinggal di luar negara termasuk penggunaan Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia (SPPIM) untuk urusan tertentu.
Dua Aplikasi Yang Patut Ada Dalam Telefon Rakyat Malaysia di Luar Negara
Daripada keseluruhan sesi pertama, ini mungkin antara perkara paling praktikal yang saya bawa pulang.
Kalau anda rakyat Malaysia dan tinggal, bekerja, belajar atau banyak berada di luar negara, ada dua aplikasi yang patut kita kenal:
1. e-Konsular
e-Konsular menjadi antara saluran utama kepada pelbagai urusan dan perkhidmatan konsular termasuk pendaftaran keberadaan rakyat Malaysia di luar negara.
Portal rasmi e-Konsular boleh diakses di ekonsular.kln.gov.my. Aplikasinya juga boleh dicari melalui Apple App Store atau Google Play Store.
2. MyWorldAlert
Satu lagi ialah MyWorldAlert, yang berkait rapat dengan aspek keselamatan dan kecemasan rakyat Malaysia ketika berada di luar negara.
Ia menyediakan maklumat dan saluran yang boleh membantu apabila berlaku situasi kecemasan serta memudahkan kita mendapatkan maklumat berkaitan Perwakilan Malaysia.
Aplikasi MyWorldAlert juga boleh dicari terus di Apple App Store atau Google Play Store.
Telefon kita ada bermacam-macam aplikasi. Jadi elok juga pastikan sekurang-kurangnya e-Konsular dan MyWorldAlert tersedia apabila kita tinggal atau mengembara di luar Malaysia.
Simpan Juga Nombor Konsulat Malaysia di Dubai
Satu lagi perkara yang saya rasa patut terus dibuat ialah menyimpan nombor Konsulat dalam telefon.
General enquiries
+971 4 398 5843
+971 4 398 5847
Emergency Only
+971 50 737 9196
mwdubai@kln.gov.my
dxb.cons@kln.gov.my
Website rasmi
Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai
Kita mungkin tidak pernah menggunakannya.
Mudah-mudahan memang tidak perlu menggunakan talian kecemasan itu.
Tetapi sekurang-kurangnya apabila diperlukan, nombornya sudah ada.
Sesi Kedua: Wasiat Bukan Perkara Yang Boleh Kita Fikir Kemudian
Sesi kedua bertajuk Estate Administration and Wills in the UAE and Malaysia - What Every Malaysian Living in the UAE Should Know.
Sesi ini disampaikan oleh Brent Yap Hon Yean, peguam Malaysia dan Co-Founder Viknesh & Yap Advocates & Solicitors, bersama Dipanshu Turiya dari Kaden Boriss UAE.
Ini antara sesi yang paling membuka mata bagi saya.
Mereka bukan sahaja menerangkan prosedur, tetapi turut berkongsi pengalaman mengendalikan urusan pusaka yang merentasi Malaysia dan UAE.
Perkara utama yang saya bawa pulang:
Undang-undang dan prosedur di Malaysia dan UAE tidak sama.
Malah di UAE sendiri, terdapat perbezaan dari segi bidang kuasa, lokasi aset, emirate, status agama seseorang dan keadaan sesuatu kes.
Satu slaid yang menarik menerangkan perbezaan antara:
Will → Probate / Letters of Administration → Estate Administration
Dalam bahasa mudah, wasiat tidak semestinya menyelesaikan semua perkara secara automatik.
Wasiat merekodkan hasrat seseorang, tetapi selepas kematian masih terdapat proses undang-undang dan pentadbiran untuk mengenal pasti serta mengumpulkan aset, menyelesaikan hutang dan perbelanjaan, sebelum aset dapat diserahkan kepada pihak yang berhak.
Kalau Sesuatu Berlaku Kepada Saya Esok?
Bahagian ini membuatkan saya berfikir tentang kehidupan sendiri.
Kita mungkin mempunyai akaun bank di UAE, akaun di Malaysia, kereta, pelaburan, emas, perniagaan, dokumen, password, komitmen kewangan dan mungkin beberapa aset lain yang hanya kita sendiri tahu.
Tetapi kalau sesuatu berlaku kepada kita esok,
adakah pasangan dan anak-anak kita tahu semua benda itu wujud?
Adakah mereka tahu di mana hendak mencari dokumen?
Adakah mereka tahu siapa yang perlu dihubungi?
Dan adakah kita telah menyediakan dokumen yang betul supaya urusan mereka tidak menjadi lebih sukar daripada yang sepatutnya?
Bagi orang Islam pula, membuat wasiat bukan bermaksud kita bebas membahagikan keseluruhan pusaka mengikut kehendak sendiri. Ada prinsip faraid, wasiat, hibah dan undang-undang berkaitan yang perlu difahami.
Jadi bagi rakyat Malaysia yang mempunyai kehidupan dan aset merentasi Malaysia dan UAE, mendapatkan nasihat profesional yang mengambil kira kedua-dua bidang kuasa memang sesuatu yang wajar dipertimbangkan.
Ini bukan nasihat undang-undang daripada saya. Ini cuma satu perkara yang saya sendiri pulang daripada program tersebut dengan azam untuk melihatnya dengan lebih serius.
Sesi Ketiga: Bila Kematian Benar-Benar Berlaku di Negara Orang
Sesi ketiga membawa kami daripada teori dan prosedur kepada pengalaman sebenar di lapangan.
Perkongsian dibuat oleh dua sukarelawan komuniti, Ashraf Thamarassery dan Riyas Chakkarentavita.
Saya sempat bertanya semula mengenai nama kumpulan mereka. Menurut maklum balas yang saya terima, mereka tidak mempunyai nama persatuan atau kumpulan rasmi tertentu. Mereka lebih selesa menyebutnya sebagai sebuah charity group.
Daripada perkongsian mereka, saya semakin faham bahawa apabila berlaku kematian di negara orang, keluarga bukan sahaja berhadapan dengan kesedihan.
Pada waktu yang sama ada urusan hospital, dokumentasi, pihak berkuasa, Konsulat, pengebumian atau penghantaran pulang jenazah serta pelbagai proses lain yang perlu dilakukan.
Bayangkan ahli keluarga di Malaysia menerima satu panggilan telefon:
orang yang mereka sayangi telah meninggal dunia di Dubai.
Apa yang perlu dibuat selepas itu?
Dalam keadaan begitu, keluarga bukan sekadar memerlukan satu senarai prosedur.
Mereka perlukan seseorang yang tahu apa langkah seterusnya.
Seseorang yang boleh berkata:
“Ini kita buat dahulu.”
“Kemudian hubungi pihak ini.”
“Dokumen ini diperlukan.”
“Yang ini kami boleh bantu.”
Itulah nilai komuniti.
Menurut perkongsian dalam sesi tersebut, usaha sukarelawan ini turut menerima pengiktirafan daripada pihak berkuasa tempatan termasuk Dubai Police.
Saya sendiri pernah menulis tentang satu sisi lain kerja sukarela dalam catatan Kerja Sukarela Pun Ada Hari Kita Penat. Dalam konteks yang berbeza, sesi ini sekali lagi mengingatkan saya bahawa kerja komuniti kadang-kadang hanya nampak nilainya apabila seseorang betul-betul memerlukan pertolongan.
Kita Selalu Bersedia Untuk Datang. Tetapi Bagaimana Kalau Perlu Pulang?
Mungkin inilah bahagian yang paling lama bermain dalam fikiran saya selepas program selesai.
Apabila berpindah ke luar negara, kita bersedia untuk datang.
Passport.
Visa.
Emirates ID.
Rumah.
Kereta.
Kerja.
Sekolah.
Insurans.
Bank.
Tetapi kita kurang bersedia untuk satu perkara lagi.
Bagaimana kalau kita perlu pulang untuk kali terakhir?
Siapa yang keluarga perlu hubungi?
Adakah kita sudah berdaftar dengan Konsulat?
Adakah keluarga tahu aset kita?
Adakah dokumen penting tersusun?
Adakah wasiat sudah ada?
Dan sekiranya keluarga kita berada beribu-ribu kilometer jauhnya di Malaysia, siapakah orang yang boleh membantu mereka di sini?
Tiga sesi yang saya ikuti hari itu sebenarnya membawa satu mesej yang sama daripada tiga sudut yang berbeza.
Konsulat memberi saluran.
Undang-undang memberi struktur.
Komuniti memberi sokongan manusia.
Ketiga-tiganya penting.
Program kemudiannya berakhir dengan jamuan makan tengah hari sebelum kami bersurai.
Gambar rasmi beramai-ramai turut diambil oleh pihak Konsulat. Jika gambar tersebut diterbitkan kemudian, saya akan kemas kini catatan ini.
Tiga Perkara Saya Bawa Pulang
Daripada keseluruhan program, tiga perkara yang saya sendiri mahu pastikan selepas ini ialah:
- Pastikan e-Konsular dan MyWorldAlert ada dan dikemas kini.
- Simpan nombor kecemasan Konsulat serta pastikan keluarga tahu siapa yang perlu dihubungi.
- Lihat dengan lebih serius soal wasiat, senarai aset dan bagaimana keluarga boleh mendapatkan maklumat penting sekiranya saya sudah tidak mampu menguruskannya sendiri.
Kita semua berharap perkara buruk tidak berlaku.
Tetapi bersedia bukan bermaksud kita menjangkakan perkara buruk.
Bersedia bermaksud kita tidak mahu meninggalkan masalah yang sebenarnya boleh kita selesaikan hari ini kepada keluarga kita esok.
Terima kasih kepada Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai, PERWAKILAN Dubai, semua penceramah dan sukarelawan yang berkongsi pengalaman sepanjang program.
“Bersama kita saling membantu, walau di mana jua berada.”
Maklumat Penting Rakyat Malaysia di Dubai
Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai
Villa No. 83, Street 10D, Mankhool, Dubai
General enquiries:
+971 4 398 5843
+971 4 398 5847
Emergency Only:
+971 50 737 9196
Website rasmi:
https://www.kln.gov.my/web/are_dubai/home
e-Konsular:
https://ekonsular.kln.gov.my/
Aplikasi e-Konsular dan MyWorldAlert juga boleh dicari melalui Apple App Store atau Google Play Store.
Catatan ini ialah perkongsian pengalaman saya menghadiri program pada 27 September 2026. Maklumat prosedur, undang-undang dan perkhidmatan boleh berubah dari semasa ke semasa. Untuk urusan rasmi konsular atau nasihat undang-undang, sila rujuk pihak Konsulat atau profesional yang berkaitan.
Ulasan