Bintang di mata bintang di hati
Oleh : MASNAH RAIS
MATA Rajmah terus merenung syiling bilik tidurnya, penat menelentang di atas katil, dia mengiring. Iring kiri, iring kanan. Walaupun sejak siang hingga pukul tiga pagi, baru dia dapat membaringkan tubuhnya yang agak susut sejak berkempen, namun matanya tidak juga mahu lena. Mungkin terlalu penat agaknya.
Senyum terukir di bibir Rajmah bila mengenang kembali saat-saat kemenangan calon-ca1on partinya. Apa lagi bila mengenangkan dirinya hampir-hampir jadi Yang Berhormat apabila namanya selaku ketua wanita bahagian dicalonkan. Tapi oleh kerana itu bukan rezekinya, namanya telah digugurkan di saat-saat akhir. Dan tempatnya telah digantikan dengan Samat yang hanya menjadi ahli biasa dalam parti.
"Tahniah Samat, aku bangga atas kejayaan mu," sambil tangannya bersalaman dengan tangan Samat.
"Terima kasih, kau tak marah lagi?" Tanya Samat tersipu-sipu kerana dia sedikit pun tidak menduga bahawa dia telah terpilih untuk bertanding.
"Kenapa aku mesti marah? Malah aku bangga dengan kemenangan kau yang bererti kemenangan parti kita. Perjuangan parti harus diteruskan?" Jawab Rajmah dengan bangga.
Merajuk dan marah, bagi Rajmah itu bukan perjuangan namanya. Walaupun hati kecilnya berasa kesal kerana namanya digugurkan di saat-saat akhir, namun dia tidak boleh menunjukkan sifat lemah. Dia mahu Kaum lefaki mengiktiraf bahawa kaum wanita cekal dan berani jika dibandingkan deean kaum lelaki.
"Kau tidak berjaya menjadi calon, Bukan kerana kau tidak layak, Rajmah. Kau punya kelulusan tinggi. Ucapan kau bernas dan tajam. Kau disenangi oleh ketua bahagian dan ahli parti kita yang lain," Salmah terus memberi semangat kepada Rajmah.
"Tak apalah. ltu bukan rezeki namanya," disambut pantas oleh Rajmah dengan nada yang tenang.
Belum sempat mereka meneruskan perbualan, satu lagi pengumuman bergema memecah suasana dewan pengiraan undi.
"Seorang lagi calon parti kita berjaya!" sahut salah seorang penyokong. Suara gemuruh dan tepuk sorak daripada penyokong-penyokong membuat dewan pengiraan undi gegak gempita.
Rajmah tersenyum puas atau kejayaan cemerlang parti yang disokongnya. Penat lelah berkempen selama ini telah terbayar. Kenangannya terhenti dengan tiba-tiba apabila loceng di dinding berbunyi empat kali.
Dia semakin cemas memikirkan tentang Razak.
"Ke mana dia pergi? Razak tidak pernah meninggalkan rumah hingga empat pagi. Dia bukan suka berjalan dan tidak pula lelaki mata keranjang?" Bisik hatinya.
"Sapiah pembantu rumah yang diberi cuti tiga hari, hingga sekarang tak balik-balik. Kalau dia ada, boleh juga tanya, ke mana Razak pergi?" Dia terus berfikir sendirian.
Tiba-tiba saja wajah Razak bermain di ruang mata. Rasa bersalah terhadap Razak mencuit hatinya. Sejak berkempen selama dua minggu, dia tidak ambil tahu langsung tentang rumah. Semuanya diserahkan kepada Sapiah.
"Kalau kau sudah tak terpilih, buat apa kau nak sibuk-sibuk dengan kempen?" Tanya Razak ketika Rajmah meninggalkan rumah untuk berkempen.
"Saya ketua wanita bahagian. Saya harus bertanggungjawab menyedia dan melaksanakan program-program wanita dalam pilihan raya ini." Terang Rajmah sambil menyarung kasutnya di tangga.
"Tengah hari ni, saya tak balik makan. Saya ada ceramah pukul dua. Tak sempat nak balik. Malam pun begitu. Sebab di Masjid Kampung Tengah akan diadakan majlis membaca Yasin." Rajmah terus turun dari anak tangga meninggalkan Razak yang sedang terpinga-pinga.
Mengalah
Memang sejak awal lagi, Razak tidak merestui perjuangan Rajmah dalam politik.
"Rajmah, saya tidak menghalang awak bergiat cergas dalam kerja-kerja kebajikan. Baik di peringkat daerah mahupun negeri. Tapi bergiat cergas dalam politik, saya tak setuju." Razak memberi pendapatnya apabila dia mengetahui Rajmah telah terpilih selaku" ketua wanita bahagian. .
"Allah,. Abang ni, apa salahnya. Bukan saya yang mahu. Tapi mereka yang pilih saya," Rajmah cuba membela dirinya.
"Itu betullah. Tapi politik ni kotor. Nanti awak juga terpaksa main kotor. Saya tak suka nanti awak terpaksa berkempen memburukkan orang lain demi untuk menaikkan satu pihak yang lain." Tambah Razak dengan suara yang tinggi.
"ltulah, abang tak faham politik. Mana pula politik tu kotor. Yang kotor ialah orang yang main politik kotor. Kalau main politik bersih, maka bersihlah politik itu jadinya." Balas Rajmah dengan pantas.
Razak terdiam. Dia mengakui kata-kata isterinya. Dia sedar, Rajmah tidak akan mengalah dalam apa saja perdebatan. Sikap itulah yang sangat dibencinya sejak mula dia mengahwini Rajmah.
"Lagipun bang, apa salahnya saya bergiat dalam politik. Anak kita cuma dua orang. Kedua-duanya menuntut di luar negara. Dengan cara ini saya dapat mengisi masa lapang dan tidaklah saya kesunyian." Tambah Rajmah setelah dilihatnya Razak mula mendiamkan diri.
"Baiklah, awak akan sibuk dengan tugas di pejabat. Kemudian kerja-kerja amal. Lepas itu berpolitik. Mesyuarat sana, mesyuarat sini. Jadi awak dapat mengisi sepenuh masa dan tidak akan kesunyian. tapi, bagaimana dengan saya? Sentiasa keseorangan setiap kali pulang dari pejabat. Siapa nak layan I makan minum saya?" Suara Razak tiba-tiba meninggi.
"Sapiah kan ada. Dah sepuluh tahun dia jadi pembantu rumah kita. Dia dah faham melayan tekak abang tu." Pujuk Rajmah meyakinkan suaminya.
Pada hakikatnya dia bersetuju dengan pendapat Razak. Kalau terlalu lurus dalam politik, kita akan dicantas. Kalau terlalu bengkok, kita akan dibenci. Yang baiknya bersikap sederhana.
"Bersikap sederhana pun tak cukup, Rajmah. Kau mesti pandai mengampu ketua dan orang atas, kalau kau mahu dapat tempat," Saniah memberikan pandangannya dengan jujur.
"Sekalipun kau tidak setuju dengan cara dan sikapnya, tapi kau harus puji dia. Di belakang, kau nak hamput dia, kau nak maki dia, kau punya fasal." Sampuk Odah dengan pantas.
Rajmah hanya mendiamkan diri apabila mendengar hujah-hujah daripada rakan-rakannya sebelum pilihan raya du1u.
"Kau tengok YB Salamah. Apa ada pada dia? Bercakap di khalayak ramai pun tergagap-gagap. Sudah berapa penggal dia masih bertanding. Kerana apa? Kerana pandai buat kerja? Ha! Jauh sekali." Tambah Saniah dengan pantas.
"Melainkan kerana dia pandai mengampu. Jadi yes women sepanjang masa. Kalau ikut hati pengundi, Salamah tu dah tak ada tempat. Tapi kerana pengundi memilih parti, maka dia menang juga. Kalau..tidak .kerana parti, dah lama dia jalan." Sampuk Saodah dengan penuh perasaan.
"Aku akan cuba membuat gaya dan corak kepimpinanku sendiri. Aku mahu berjuang dengan ikhlas. Membela hidup rakyat dengan jujur. ltulah tekad ku, kalau aku jadi pemimpin," jawab Rajmah dengan tenang dan teratur.
"Tapi kau tidak akan lari dari tekanan-tekanan politik. Kau akan sentiasa dicabar dan diumpat ketika di belakang dan dipuji setinggi langit bila di hadapan kau," tambah lagi Saniah dengan sungguh-sungguh.
"Umpat keji bagiku itu adalah perkara biasa. Dan ia berlaku di mana-mana. Di pejabat kerajaan atau swasta, di dalam masyarakat harian malah kadang-kadang kawan baik kita pun sanggup menggunting dalam lipatan," jawab Rajmah pendek.
"Aku serahkan segala-galanya pada Tuhan. Bagiku, kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai," tambah Rajmah lagi.
Kata-kata Rajmah yang menunjukkan sikap tegasnya itu, telah membuatkan Saniah dan Saodah kagum dan terdiam.
Sekali lagi jam di dinding berbunyi. Menandakan sudah pukul lima pagi. Kelopak matanya sudah mula layu. Benaknya sudah tidak dapat dihantui oleh pertanyaan-perlanyaan ke mana perginya Razak. Akhirnya Rajmah terlena.
Dia bergegas bangun dari katil bila dia terjaga, dilihatnya jam di dinding sudah pukul 8 pagi. Dia mesti siap cepat. Jam 10 mesti berada di dewan besar kerana istiadat menerima bintang akan dilangsungkan.
Hati Rajmah melonjak kegembiraan. Kerana sebentar lagi dia akan menerima bintang terpuji selaku Tokoh Wanita tahun ini. Penat lelahnya dalam kerja-kerja amal dan politik telah terbayar.
Sewaktu bintang disematkan di dadanya, hati Rajmah berdebar-debar penuh bangga. Walaupun Razak tidak ada di sisinya ketika penerimaan itu, namun dia tetap berasa puas.
"Razak juga tentu bangga punya isteri yang berjaya," bisik hati kecilnya dengan megah.
Tiba-tiba sahaja wajah Razak bermain di ruang mata. Dia. bangga dapat suami baik seperti Razak. Mudah mengalah. Tak banyak bercakap. Tak pernah marah. Bukan kaki judi apa lagi bersikap mata keranjang.
"Kau sungguh bertuah Rajmah. Suami kau cukup memahami dirimu," kata Saripah ketika menemani Rajmah berkempen dahulu. .
Pujian
"Betul kata kau tu Saripah. Payah nak cari yang macam itu," sampuk Timah.
"Memang. Aku sendiri merasakan demikian. Bukan itu saja, malah kalau pembantu rumah bercuti, dia tak teragak-agak memasak di dapur. Kadang-kadang ke pasar pun dia buat," jawab Rajmah bangga disambut hilai tawa Timah dan Saripah.
Senyuman di bibir Rajmah terus terukir memikirkan pujian rakan-rakannya tentang Razak.
"Razak, aku sudah terlalu banyak mengabaikan tugasku terhadapmu. Mulai hari ini, aku akan tumpukan penuh perhatian pada kau dan rumah tangga kita," bisik hati kecilnya.
Sampai sahaja di rumah, dia terus masuk ke bilik tidur. Wajah Rajmah berseri-seri bila dilihatnya Razak sedang terbaring di atas katil. Dia terus memeluk tubuh Razak yang sudah sekian lama dia tidak berbuat demikian. Layanan mesranya berkurangan kerana tanggungjawab yang harus dipikul.
"Abang tahu, hari ini saya telah menerima Bintang Tokoh Wanita yang terpuji?" sambil Rajmah menunjukkan pingat yang masih tersemat di dada bajunya.
"Saya tahu. Tahniah," jawab Razak pendek.
"Sapiah mana? Saya beri cuti tiga hari, sampai sekarang tak balik lagi?"
"Sudah saya berhentikan," jawab Razak pendek.
"Apa! Kenapa?" tanya Rajmah kehairanan.
"Aku akan menikah dengannya," jawab Razak.
"Dengan siapa? Sapiah?" tanya Rajmah semakin bingung.
"Ya. Kerana layanannya menjaga makan minum dan pakaianku serta rumah ini, telah membuatkan dia berjaya mengisi kekosongan dan kesunyian diriku." Rajmah terpinga-pinga. Seolah-olah dia tidak percaya dengan apa yang diucapkan oleh Razak.
"Tapi bang, saya telah memikirkan dengan semasak-masaknya. Malah saya telah mengambil keputusan untuk membahagi-bahagikan masa antara rumah tangga dan karier." Ayat itu dilafazkan dengan suara yang tersekat-sekat menahan sebak di dada.
Akhirnya Rajmah tidak dapat menahan perasaan. Tubuh Razak dirangkulnya sekuat-kuat hati. Air matanya mengalir membasahi bahu Razak tanpa henti.
"Maafkan atas segala kesalahan saya bang. Saya berjanji tidak akan mengabaikan tugas sebagai seorang isteri walau apa saja rupa bentuk karier yang saya pikul," rayu Rajmah.
Sedu-sedannya semakin pantas. Air matanya mengalir semakin deras.
"Maafkan saya bang. Maafkan saya," ulangnya berkali-kali dengan penuh keinsafan.
Lama Razak terdiam. Mungkin dia sedang memikirkan sesuatu. Dia sendiri sangat terharu dengan keadaan itu. Rajmah pula tidak mahu kehilangan Razak. Tidak ada erti kejayaan, sekiranya rumah tangga yang dibina sekian lama akan hancur berkecai.
"Berhentikan terus Sapiah bang. Saya akan mengurus sendiri rumah ini dan melayan abang sepenuh hati," sambil matanya merenung wajah Razak.
Lama kedua-duanya berpandangan. Kedua-duanya juga terdiam. Rajmah seperti tidak sabar lagi mahu mendengar jawapan daripada suaminya. Tiba-tiba Razak menarik badan Rajmah. Didakapnya tubuh itu erat-erat.
"Sapiah akan terus kita berhentikan," sambil Razak mencium dahi Rajmah.
Kemudian kedua-duanya berpelukan seperti teruna dara yang sedang tenggelam dalam lautan kasih sayang. Di bibir Razak terukir sebuah senyuman bangga kerana helahnya telah berjaya menguji kesucian hati isterinya bahawa suami adalah pilihan utama dari segala-galanya.
0 komen