Balik Jenguk Emak, Bertemu Lagi Cabang Keluarga

Satu Pertemuan, Bersambung Lagi Salasilah — daftar keluarga is150 berkembang daripada 600 kepada 656 individu.

Baru-baru ini saya balik ke Malaysia sebab emak masuk hospital di Ipoh. Dalam keadaan macam tu, memang perhatian kita pada keluarga dan keadaan emak. Saya ada kongsikan cerita balik tempoh hari dalam catatan Project 99 | Captain’s Log 005.

Nak jadikan cerita, pada hari yang sama, ada saudara sebelah abah juga dimasukkan ke hospital. Dari situ dapatlah saya berkenalan dengan beberapa lagi ahli keluarga jauh.

Mula-mula nak sebut hubungan pun saya tak berapa pasti. Sepupu abah ke, dua pupu ke? Kita tahu ada pertalian, tapi macamana rantaiannya tu... kena buka balik salasilah. Hehehe...

Dalam post bulan April yang lalu, saya ada cerita bagaimana usaha ini bermula dengan diri sendiri, mak, abah dan adik-beradik. Kemudian tambah pasangan, anak-anak, atok, opah dan cabang keluarga yang lain.

Waktu itu dah ada 600 individu.

Bila semak semula daftar pada 24 September ini, jumlahnya dah jadi 656 individu. Bertambah 56 rekod sejak April. Saya sendiri pun nak tahu, banyak mana sebenarnya yang dah ditambah selama ini.

Rupanya sedikit-sedikit tu, berkembang juga.

Satu nama membawa kepada nama yang lain

Antara nama dalam cabang yang saya dapat sambungkan kali ini ialah Alang Ahmad, Hj Pilus, Che Mustafa dan Tak.

Kemudian masuk pula nama Mafizul Che Mustafa, Mahadzil Che Mustapha, Maznah Che Mustapha dan Mafuzah Che Mustapha.

Saya masih berhubung dengan Anuar Mohd Zain, suami kepada Mafuzah. Bila dah ada seorang ahli keluarga yang boleh kita hubungi semula, mudahlah sedikit nak sambung bertanya dan semak maklumat yang belum jelas.

Kadang-kadang kita tahu nama panggilan sahaja. Nama penuh tak tahu. Ada nama yang disebut dengan ejaan berbeza. Ada pula kita kenal orangnya, tetapi tak tahu dia anak kepada siapa.

Bila ada adik-beradik abah dan sepupu-sepupu saya datang melawat, dapatlah kita panjangkan dan kuatkan silaturahim. Untuk adik-beradik abah memang mudah untuk ingat siapa mereka ini. Untuk sepupu-sepupu saya, saya kaitkan dengan Opah Chu Timah. Rumah Opah Chu memang dekat dengan rumah Opah dan Ayah Chor (Razali Othman), dan antara rumah yang wajib ziarah bila hari raya.

Itulah antara kerja di belakang carta salasilah ni. Dapat nama dahulu, kemudian perlahan-lahan cari tempatnya dalam keluarga.

Kalau nak mula kumpul cerita keluarga, buku nota A5 pun dah memadai. Catat nama panggilan, anak kepada siapa dan cerita yang sempat kita dengar. Nanti bila lapang, baru susun semula. Takut kalau harap ingatan sahaja, sampai rumah dah lupa... hehehe...

Jadi, apa hubungan dengan abah?

Berdasarkan susunan yang saya dah masukkan, Alang Ahmad dan Hj Pilus direkodkan sebagai adik-beradik.

Di sebelah keluarga saya, susurannya daripada Alang Ahmad kepada Teh Sawiyah, kemudian Habibah Ismail dan seterusnya abah saya, Ibrahim Sukri Othman.

Satu lagi cabang pula daripada Hj Pilus kepada Che Mustafa, kemudian Mafizul.

Bila diletakkan sebelah-sebelah, baru nampak. Mengikut rekod sekarang, Mafizul ialah dua pupu kepada Habibah Ismail, ibu kepada abah. Jadi dengan abah, ada beza satu generasi.

Patutlah bila nak sebut secara spontan tu, saya sendiri teragak-agak!

Susunan ini masih boleh disemak bersama keluarga. Kalau ada hubungan atau nama yang tersilap, kita betulkan. Yang penting, dah ada asas untuk kita rujuk dan bincang.

Carta salasilah yang menghubungkan Ibrahim Sukri Othman dan Mafizul Che Mustafa melalui cabang Alang Ahmad dan Hj Pilus.
Cabang keluarga abah di sebelah kiri dan Mafizul di sebelah kanan. Melalui Alang Ahmad dan Hj Pilus, dapatlah kita menelusuri semula pertalian keluarga ini. Masih ada nama yang belum lengkap, kita sambung sedikit demi sedikit.
Klik gambar untuk paparan lebih besar.

Bukan semua tambahan datang daripada pertemuan di hospital

Daripada 56 individu baharu sejak April, 20 berada dalam rangkaian cabang keluarga yang berkaitan dengan pertemuan di Ipoh ini.

Selebihnya datang daripada cabang lain yang turut saya kemas kini. Antaranya keluarga Ihsan, Dahlan dan Djais, serta keluarga Baba Jendol dan Puteh Aman.

Selain tambah individu, ada juga nama lama yang dapat dilengkapkan, maklumat kelahiran yang ditambah dan gambar yang dipautkan kepada ahli keluarga berkenaan.

Kalau masih ada gambar keluarga yang bercetak, bolehlah kumpulkan dalam album gambar 4R. Selitkan sekali catatan nama, tempat dan anggaran tahun gambar diambil. Nanti bila anak cucu tengok, ada juga petunjuk siapa dalam gambar tu.

Sebab itu kadang-kadang jumlah nama tak banyak bergerak, tetapi kerja mengemas kini tetap berjalan. Satu nama yang dah lama ada pun boleh membawa maklumat baharu.

Masih ada tempat kosong

Dalam daftar ini masih ada nama yang belum diketahui. Ada yang tinggal nama panggilan, ada yang hubungan keluarganya perlukan pengesahan lagi.

Saya biarkan dahulu ruang itu terbuka. Kalau belum tahu, kita tulis belum tahu. Nanti bila dapat maklumat, baru lengkapkan.

Macam saya cerita sebelum ini, ada orang yang kita tahu saudara kita, tetapi tak tahu nak sambung di mana. Bila dapat satu nama ibu, bapa atau pasangan, barulah nampak jalan untuk menghubungkan cabang tersebut.

Pertemuan kali ini mengingatkan saya supaya teruskan usaha ini walaupun sedikit-sedikit. Sementara masih boleh bertanya dan masih ada ahli keluarga yang mengingati cerita orang-orang terdahulu.

Kalau ada yang membaca ini dan mengenali keluarga Alang Ahmad, Hj Pilus, Che Mustafa atau Tak, bolehlah hubungi saya. Begitu juga keluarga Ihsan, Dahlan, Djais, Baba Jendol dan Puteh Aman.

Ada nama penuh? Ada gambar lama? Atau nampak susunan yang perlu dibetulkan?

Boleh wasap atau tinggalkan komen. Maklumat peribadi keluarga bolehlah kongsi terus dengan saya.

Terima kasih kepada ahli keluarga yang sudi berkongsi selama ini, termasuk Anuar yang masih berhubung. Mudah-mudahan usaha kecil ini dapat membantu anak cucu mengenali keluarga mereka nanti.

Daripada 600 kepada 656 individu. Masih banyak lagi cabang yang boleh disambungkan.

Kita kumpul perlahan-lahan. InShaAllah.


Nota: Post ini mengandungi pautan affiliate Shopee. Saya mungkin menerima sedikit komisen daripada pembelian melalui pautan tersebut, tanpa kos tambahan kepada anda.

Ulasan