- Dapatkan pautan
- X
- E-mel
- Apl Lain
Featured Post
- Dapatkan pautan
- X
- E-mel
- Apl Lain
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Apabila kita tinggal di luar negara, kadang-kadang kita dapat melihat Malaysia daripada perspektif yang sedikit berbeza. Apa yang kita anggap biasa di tanah air, mungkin merupakan sesuatu yang istimewa bagi masyarakat antarabangsa.
Pada hari Selasa, 24 November 2026, saya berkesempatan menghadiri program Discover Malaysia My Second Home (MM2H) Seminar & Networking yang berlangsung di Park Regis Kris Kin Hotel, Dubai.
Program ini melibatkan Tourism Malaysia Dubai, Konsulat Jeneral Malaysia serta pelbagai pihak berkepentingan dalam industri pelancongan dan perniagaan.
Malaysia dari Perspektif Orang Luar
Suasana seminar yang menghimpunkan peserta daripada pelbagai latar belakang.
Sebagai rakyat Malaysia yang kini menetap di Dubai, saya sentiasa tertarik dengan program-program yang memperkenalkan negara kita kepada masyarakat di sini.
Kalau sebelum ini kita sering mendengar tentang usaha menarik pelancong asing ke Malaysia, program kali ini membawa satu perspektif yang lebih luas. Bagaimana pula jika mereka bukan sekadar datang melancong, tetapi memilih Malaysia sebagai tempat tinggal kedua?
Malaysia mempunyai banyak kelebihan. Kepelbagaian budaya, makanan, kemudahan kesihatan, pendidikan, infrastruktur dan gaya hidup merupakan antara perkara yang boleh menarik minat masyarakat antarabangsa.
Perkara yang mungkin kita sendiri kurang hargai apabila berada di Malaysia.
Malaysia Bukan Sekadar Destinasi Pelancongan
Ucapan alu-aluan Konsul Jeneral Malaysia di Dubai dan Emiriah Utara.
Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Konsul Jeneral Malaysia di Dubai dan Emiriah Utara, T.Y.T. Riaz Abdul Razak.
Bagi saya, program seperti ini merupakan salah satu platform yang baik untuk memperkenalkan Malaysia dengan lebih dekat kepada masyarakat dan komuniti perniagaan di UAE.
Perkongsian daripada Ketua Pengarah Islamic Tourism Centre (ITC).
Turut mengisi program ialah Ketua Pengarah Islamic Tourism Centre (ITC), Mohammad Faisal Abu Suaib Khan.
Aspek pelancongan mesra Muslim merupakan salah satu kelebihan Malaysia, khususnya dalam menarik minat masyarakat dari rantau Timur Tengah.
Kemudahan mendapatkan makanan halal, tempat beribadah serta kehidupan dalam masyarakat berbilang kaum dan agama merupakan antara keunikan negara kita.
Pembentangan Visit Malaysia 2026–2027 oleh Tourism Malaysia Dubai.
Pengarah Tourism Malaysia Dubai, Mohd Faharuddin Hatmin, turut menyampaikan pembentangan mengenai Malaysia sebagai destinasi pelancongan sempena Visit Malaysia 2026–2027.
Melihat gambar-gambar keindahan Malaysia yang dipaparkan di Dubai, terasa juga rindu dengan tanah air sendiri.
MM2H dan PVIP – Dua Program yang Berbeza
Selain menambah pengetahuan mengenai MM2H, kehadiran saya ke program ini juga mempunyai kaitan dengan peranan profesional yang sedang saya jalankan di Dubai.
Seperti yang pernah saya kongsikan sebelum ini, saya kini turut berperanan sebagai Advisor bersama CAN Advisory Sdn Bhd, khususnya dalam memperkenalkan Malaysia Premium Visa Programme (PVIP) kepada kenalan dan pihak yang berminat di rantau ini.
Walaupun kedua-duanya melibatkan peluang untuk warga asing menetap di Malaysia dalam jangka panjang, MM2H dan PVIP merupakan dua program yang berbeza, dengan syarat, objektif dan proses permohonan masing-masing.
Saya melihat kedua-dua program ini sebagai sebahagian daripada pilihan yang boleh dipertimbangkan oleh warga asing yang ingin membina hubungan jangka panjang dengan Malaysia, bergantung kepada kelayakan dan keperluan masing-masing.
Bagi yang ingin mengetahui sedikit sebanyak mengenai peranan saya bersama CAN Advisory, boleh rujuk perkongsian terdahulu:
Dari Dubai ke Malaysia: Peranan Baharu Saya
Networking Bukan Sekadar Bertukar Kad Nama
Kesempatan bertemu dan bertukar pandangan bersama delegasi Malaysia.
Antara bahagian yang saya nantikan dalam program seperti ini sudah tentulah sesi networking.
Alhamdulillah, berkesempatan berkenalan dengan beberapa individu daripada pelbagai industri, baik dari Malaysia mahupun yang beroperasi di UAE.
Ada yang terlibat dalam bidang pelancongan, perundingan, kewangan dan perniagaan. Setiap orang mempunyai pengalaman, kepakaran dan perspektif yang berbeza.
Bagi saya, networking bukan bermaksud setiap orang yang kita temui mesti menjadi pelanggan kita.
Ada yang mungkin menjadi rakan kerjasama. Ada yang mungkin memperkenalkan kita kepada individu lain. Ada juga yang sekadar menjadi kenalan baharu untuk kita bertukar pandangan dan pengalaman.
Yang penting, hubungan itu tidak berakhir selepas kita bertukar kad nama.
Apa yang Saya Bawa Pulang?
Bukan sekadar cenderamata, tetapi juga kenalan dan peluang baharu.
Balik dari program ini, bukan sekadar membawa pulang beg Visit Malaysia, beberapa cenderamata dan bahan bacaan. Ada juga beberapa keping kad nama daripada kenalan baharu.
Cenderamata mungkin akhirnya tersimpan di dalam almari. Tetapi hubungan yang dibina, jika dijaga dengan baik, mungkin membuka pintu kepada peluang yang tidak pernah kita jangkakan.
Hari ini mungkin sekadar bertukar kad nama. Esok lusa, siapa tahu?
Insya-Allah, ada rezeki dan peluang untuk kita sama-sama menyumbang kepada Malaysia, walaupun berada jauh dari tanah air.
Maklumat lanjut:
Bagi yang mempunyai kenalan di luar negara yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Malaysia Premium Visa Programme (PVIP), boleh hubungi saya melalui pautan berikut:
Kalau diberikan peluang untuk memilih sebuah negara sebagai rumah kedua, negara manakah yang menjadi pilihan anda? Dan kenapa?
Kongsikan di ruangan komen.
Sehingga bertemu lagi dalam catatan seterusnya.
Wassalam.
Location:
Sheikh Khalifa Bin Zayed St - opp. Burjuman Center - Bur Dubai - Dubai - United Arab Emirates
- Dapatkan pautan
- X
- E-mel
- Apl Lain
Ulasan
Catat Ulasan