Pasar Malam di Dubai: Kami Jual Laksa Johor

Alhamdulillah… selesai pengalaman kami berniaga Laksa Johor di Pasar Malam, Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai pada 24 Oktober 2026.

Kalau sebelum ini saya banyak berkongsi cerita pergi makan dan jalan-jalan, kali ini ceritanya dari belakang meja jualan pula. Kami membuka gerai bersama di bawah nama Barakah Cafe.

Lain juga rasanya apabila kita pula yang menyediakan makanan untuk orang datang membeli. Sebelum ini fikir nak makan apa. Kali ini fikir bekas cukup ke, barang semua dah bawa ke… 🤣

Pengunjung singgah di gerai Barakah Cafe semasa Pasar Malam di Konsulat Malaysia Dubai
Suasana di gerai Barakah Cafe. Kali ini kami pula di belakang meja jualan.

Pasar Malam ini dianjurkan oleh PERWAKILAN Dubai dengan sokongan Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai. Walaupun namanya pasar malam, program berlangsung pada sebelah petang, dari pukul 2.00 hingga 5.30 petang di Al Mankhool.

Baru-baru ini saya hadir ke Taste of Malaysia di Dubai untuk menikmati hidangan Malaysia. Kali ini bertukar peranan pula. Kami bawa Laksa Johor untuk memeriahkan pilihan makanan di sini.

Persiapan sebelum buka gerai

Nak berniaga beberapa jam pun, ada juga persiapannya.

Bahan mentah, spageti, kuah, ulam dan sambal. Kemudian bekas makanan, bekas kuah, bekas sambal dan beg plastik pula. Satu-satu kena sediakan.

Bila semuanya sudah dibungkus dan tersusun, lega sedikit melihat hasil persiapan. Sebelum sampai ke meja jualan, ada juga kerja di belakang setiap bekas Laksa Johor ini.

Persediaan ulam dan set Laksa Johor yang siap dibungkus untuk jualan
Daripada persediaan bahan hingga set Laksa Johor yang siap dibungkus.

Poster Barakah Cafe dan kod QR pembayaran turut disiapkan. Benda kecil-kecil begini, bila disenaraikan baru nampak banyak juga sebenarnya.

Di gerai kami ada mochi, donut, keropok udang Thai, aiskrim Malaysia, roti jala dan kari ayam, soya sejuk, murukku serta Laksa Johor. Banyak juga pilihan bila berkongsi gerai. Bahagian kami, fokus kepada Laksa Johor.

Poster Barakah Cafe dengan pilihan makanan dan maklumat untuk menghubungi penjual
Pelbagai pilihan makanan di bawah satu nama, Barakah Cafe. Klik gambar untuk melihat poster dengan lebih jelas.

38 set Laksa Johor

Untuk kali ini, kami menyediakan 38 set Laksa Johor. Spageti dan pelengkapnya disusun dalam bekas, manakala kuah dibungkus berasingan.

Alhamdulillah, 30 set terjual pada harga AED30 setiap satu. Lapan set lagi kami berikan kepada kawan-kawan. Dapat juga berkongsi rasa bersama mereka.

Jauh dari Malaysia, dapat menikmati hidangan yang biasa kita makan di tanah air pun sudah memberi rasa yang berbeza.

Kalau dalam cerita jalan-jalan di Global Village, saya sibuk memilih makanan dan mengira belanja… kali ini kami pula yang menunggu orang singgah membeli. 🤣

Macam mana nak makan Laksa Johor?

Kami turut sediakan video ringkas cara makan Laksa Johor untuk dikongsikan dengan pelanggan. Bila bahan dibungkus berasingan, lebih mudah kalau ada video yang menunjukkan cara menggabungkan semuanya sebelum makan.

Tengok semula video ini pun boleh datang selera… 😊

Meriah dengan makanan dan kawan-kawan

Di sekitar gerai lain, ada juga sate yang sedang dibakar. Pengunjung pula memenuhi laluan, melihat pilihan makanan dan singgah di meja jualan.

Kemeriahan pengunjung Pasar Malam dan sate yang sedang dibakar
Suasana Pasar Malam di Dubai, dengan pengunjung dan makanan yang mengingatkan kita kepada Malaysia.

Seronok tengok keluarga datang bersama anak-anak. Ada yang membeli, ada yang berbual dan ada yang sempat bergambar. Dalam kesibukan berniaga, dapat juga menyimpan beberapa kenangan bersama kawan-kawan.

Menikmati makanan bersama kawan-kawan di atas tikar semasa Pasar Malam
Duduk makan bersama, sambil meluangkan masa dengan kawan-kawan.

Suasana begini antara perkara yang saya suka tentang program komuniti di sini. Ada sebab untuk keluar, berjumpa dan meluangkan masa bersama.

Sebelum ini saya berkongsi cerita Hari Sukan di Kite Beach. Kali ini berkumpul di Pasar Malam pula. Aktiviti berbeza, tetapi tetap seronok apabila dapat bertemu rakyat Malaysia di perantauan.

Barang kecil yang perlu masuk senarai

Pengalaman menyediakan jualan ini mengingatkan saya bahawa pembungkusan pun perlu dirancang bersama makanan. Bekas utama, bekas kuah dan sambal semuanya ada bahagiannya.

Pilihan barang untuk persediaan makanan

1. Bekas makanan Thinwall — segi empat dan bulat
Semak pilihan saiz dan bentuk mengikut makanan yang hendak dibungkus.
Lihat pilihan bekas makanan di Shopee →

2. Thermal Cooler Bag — lapisan aluminium foil
Satu pilihan beg untuk membawa makanan. Semak ukuran supaya muat dengan bekas yang digunakan.
Lihat Thermal Cooler Bag di Shopee →

Pautan Shopee di atas ialah pautan affiliate. Saya mungkin menerima komisen jika anda membuat pembelian melalui pautan ini, tanpa kos tambahan kepada anda.

Ada rezeki, ada pengalaman

Selepas selesai jualan, tiba masa untuk mengira semula belanja dan hasil.

Alhamdulillah, hasil jualan Laksa Johor dapat menampung kos yang kami keluarkan dan masih ada lebihan. Duit itu boleh dipusing semula sebagai modal untuk jualan seterusnya, Insha-Allah.

Pengalaman kali ini juga boleh dijadikan panduan untuk merancang kuantiti, pembungkusan dan persediaan gerai. Bila buat sendiri, baru nampak perkara kecil yang perlu diberikan perhatian.

Foto kenangan bersama di belakang meja jualan Barakah Cafe
Kenangan bersama di gerai Barakah Cafe.

Terima kasih kepada semua yang singgah di Barakah Cafe, membeli makanan dan memberikan sokongan. Terima kasih juga kepada rakan-rakan yang sama-sama menjayakan gerai, serta pihak PERWAKILAN Dubai dan Konsulat yang menyediakan ruang untuk program ini.

Alhamdulillah atas rezeki dan pengalaman kali ini. Dapat berniaga, dapat berkongsi makanan dan dapat berkumpul dengan kawan-kawan.

Insha-Allah, kalau ada peluang lagi, kita jumpa di gerai. Laksa Johor lagi ke nanti? Kita tengok… 😊

Ulasan

uncle gedek berkata…
Wah! Laksa Johor mendonia!
Yes... makan pakai tangan la baru betul2 'johor' kan?