Featured Post

Trip Abaya Hunting 2026: Lebih Daripada Sekadar Shopping

Trip Abaya Hunting Dubai 2026 - koleksi abaya eksklusif di Dubai
Trip Abaya Hunting 2026 - pengalaman shopping dan mencari stok abaya di Dubai dan Ajman.

6-10 November 2026 | Dubai & Ajman, UAE

Lama tak bersiaran kerana sibuk melayan tetamu.

Kali ini saya nak berkongsi satu lagi pengalaman menguruskan trip di Dubai. Bukan trip sightseeing biasa, tetapi lebih kepada misi membeli-belah, khususnya mencari dan menempah abaya untuk dibawa pulang ke Malaysia.

Saya panggil perjalanan kali ini sebagai Trip Abaya Hunting 2026. Jujurnya ini bukan kali pertama saya uruskan trip sebegini.

Tetamu kali ini dua orang dari Malaysia. Sepanjang trip, saya menggunakan Mitsubishi Pajero untuk membawa mereka ke lokasi yang dirancang, khususnya kawasan shopping, sambil menyelitkan beberapa tempat menarik sekitar Dubai dan Ajman.

Bagi saya, trip seperti ini mempunyai cabaran yang sedikit berbeza. Kita bukan sekadar perlu tahu jalan ke destinasi pelancongan. Kita juga perlu faham keperluan tetamu, kedudukan butik, masa yang diperlukan untuk shopping dan bagaimana hendak menyusun perjalanan supaya semuanya berjalan lancar.

6 November | Selamat Datang ke Dubai

Perjalanan bermula pada malam 6 November apabila saya mengambil tetamu di Dubai International Airport.

Kami terus singgah ke GCR pekena Pothi Biryani dan Roti Telur. Kemudian baru menuju ke hotel di kawasan Dubai Creek Harbour. Lebih kurang jam 11 malam, urusan penghantaran ke hotel selesai.

Pothi Biryani dan hidangan malam di GCR Dubai
Pekena Pothi Biryani dan hidangan di GCR sebelum menuju ke hotel.

Malam pertama tidak banyak aktiviti. Yang penting, tetamu dapat berehat sebelum memulakan misi shopping pada keesokan harinya.

7 November | Naif Souq, Perfume dan Global Village

Hari pertama yang benar-benar penuh aktiviti.

Kami bermula dari hotel pada jam 9 pagi dan menuju ke Naif Souq, salah satu kawasan yang sering menjadi tumpuan mereka yang mencari pakaian, abaya dan pelbagai barangan lain.

Bagi mereka yang datang dengan tujuan perniagaan, shopping di sini tidak sama seperti membeli-belah untuk kegunaan sendiri. Kadang-kadang perlu membandingkan pilihan, berbincang dengan penjual dan membuat tempahan yang hanya boleh disiapkan kemudian.

Selepas urusan di Naif, kami turut singgah ke Yusof Bhai untuk perfume.

Petang itu, perjalanan diteruskan ke Jumeirah Mosque dan kawasan Half Desert sebelum tiba di Global Village sekitar jam 6.10 petang.

Jumeirah Mosque Dubai - lokasi persinggahan dalam trip Abaya Hunting
Singgah sebentar di kawasan Jumeirah Mosque, Dubai.
Mitsubishi Pajero di kawasan Half Desert Dubai pada waktu petang
Half Desert - sedikit suasana padang pasir di tengah jadual shopping.

Global Village memberi suasana yang berbeza selepas seharian berada di kawasan kedai dan pasar.

Global Village Dubai pada waktu malam - suasana pasar dan tarikan pelancongan
Suasana malam di Global Village, Dubai.

Kami hanya kembali ke hotel sekitar jam 11 malam. Memang panjang hari pertama ini!

8 November | Ajman, Al Seef dan Pemandangan Malam Dubai

Hari kedua bermula sedikit lewat, sekitar jam 9.30 pagi.

Destinasi kami kali ini ialah Ajman. Selain Dubai, Ajman juga menjadi sebahagian daripada perjalanan mencari barangan dan menguruskan keperluan shopping.

Pelbagai pilihan abaya wanita di butik sekitar Ajman UAE
Antara koleksi abaya yang menjadi tumpuan semasa shopping di Ajman.

Menjelang petang, kami kembali ke Dubai dan singgah di kawasan Gold Souq untuk ke Yusof Bhai.

Kemudian sekitar jam 4.10 petang, kami sampai ke Al Seef Heritage.

Saya suka kawasan Al Seef kerana suasananya berbeza daripada Dubai moden yang penuh dengan bangunan pencakar langit. Di sini, seni bina tradisional dan suasana Dubai lama menjadi tarikan tersendiri.

Bot tradisional abra di Dubai Creek berhampiran kawasan Al Seef Heritage
Abra tradisional di Dubai Creek - antara elemen klasik Dubai yang masih boleh dinikmati.

Kami juga menikmati makan malam di Al Fanar.

Sebelah malam pula, kami ke Dubai Mall sekitar jam 7.30 malam, kemudian meneruskan perjalanan ke Dubai Creek Harbour Observation Deck sekitar jam 9.30 malam.

Pemandangan bandar Dubai pada waktu malam memang sesuai dijadikan penutup hari yang panjang.

Pemandangan skyline Dubai dan Burj Khalifa pada waktu malam dari kawasan Dubai Creek
Lampu-lampu bandar Dubai pada waktu malam dengan Burj Khalifa di kejauhan.

Sekali lagi, kami tiba di hotel sekitar jam 11 malam.

9 November | Shopping Terakhir Sebelum Pulang

Hari terakhir aktiviti bermula pada jam 10.30 pagi.

Antara lokasi yang kami kunjungi ialah Mall of the Emirates, Souk Madinat Jumeirah dan Day to Day.

Pada jam 2.30 petang, kami kembali ke Naif Souq untuk urusan shopping seterusnya.

Menjelang jam 5 petang, kami singgah makan di Khaymar Heritage Restaurant, sebelum ke Chocolala sekitar jam 6.45 petang.

Hidangan nasi dan ikan di Khaymar Heritage Restaurant Dubai
Menikmati hidangan di Khaymar Heritage Restaurant sebelum menamatkan hari terakhir shopping.

Jam 7.30 malam, kami sudah kembali ke hotel. Tetamu perlu mengemas barang dan membuat persiapan untuk penerbangan pulang.

Sekitar jam 11 malam, kami bertolak ke Dubai International Airport. Saya turut membantu urusan check-in sebelum menamatkan tugasan bersama mereka.

Trip Tamat, Tetapi Kerja Belum Habis

Satu perkara menarik tentang trip shopping ialah urusannya tidak semestinya tamat apabila tetamu menaiki kapal terbang.

Ada barangan yang dibeli terus, dan ada juga tempahan yang hanya siap selepas tetamu pulang.

Pada 10 November, saya kembali ke Naif Souq untuk mengambil stok pakaian yang telah ditempah.

Stok tersebut kemudian saya hantar ke syarikat cargo untuk urusan penghantaran ke Malaysia.

Masih ada beberapa lagi tempahan daripada butik lain, termasuk dari Ajman, yang perlu diselaraskan penghantarannya.

Di sinilah saya nampak satu lagi keperluan tetamu yang datang ke Dubai untuk membeli stok perniagaan.

Mereka bukan sahaja memerlukan seseorang yang boleh membawa mereka ke kedai, tetapi juga seseorang yang boleh membantu menyelaraskan pengambilan barang, menguruskan serahan kepada cargo dan memastikan proses susulan berjalan dengan teratur.

Lebih Daripada Sekadar Pemandu Pelancong

Daripada pengalaman kali ini, saya semakin nampak bahawa perkhidmatan travel tidak semestinya terhad kepada lawatan ke tempat-tempat menarik.

Ada pelanggan yang datang untuk bercuti, ada yang datang untuk transit, dan ada juga yang datang dengan tujuan membeli barangan untuk perniagaan.

Setiap jenis pelanggan memerlukan pendekatan berbeza.

Bagi trip Abaya Hunting kali ini, perkara utama bukanlah berapa banyak tempat yang sempat dilawati. Yang lebih penting ialah sama ada perjalanan itu membantu mereka mencapai tujuan sebenar datang ke Dubai.

Itulah pengalaman yang saya bawa pulang daripada trip ini.

Alhamdulillah, satu lagi pengalaman untuk projek ISIS23 Travel. Masih banyak yang perlu saya pelajari dan perbaiki, tetapi setiap perjalanan memberi peluang untuk memahami keperluan pelanggan dengan lebih baik.

Insya-Allah, kita jumpa lagi dalam catatan perjalanan seterusnya.


Catatan: Trip ini berlangsung pada 6-10 November 2026, dengan urusan pengumpulan stok dan penghantaran cargo diteruskan selepas pelanggan pulang.

Personal Log is150 | Dubai, UAE

Ulasan

  1. Saya trakhir ke Dubai 2023. Menyesal tak banyak shopping abaya. Padahal bagus2 memang. Tapi saat itu nak lanjut ke Turkiye. Itu sebab nya saya tak banyak shopping di Dubai sebab masih panjang perjalanan.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Patutlah kena tahan shopping dulu, ada sambungan perjalanan ke Türkiye rupanya 😄 Kalau dah borong abaya di Dubai, beg pula penuh sebelum habis trip hehe. Next time datang Dubai bolehlah luangkan masa untuk abaya hunting, Fanny. Mana tahu ada rezeki kita jumpa di sini 😊

      Padam
  2. Lovely photos and great details of your journey. Thank you so much for sharing.

    BalasPadam

Catat Ulasan