Hari Terbuka 1AL

Acapkali kita dengar berkenaan masalah anak-anak remaja. Masing-masing berpakat menyalahkan antara satu sama lain. Yang guru salahkan ibu-bapa. Ibu bapa menyalahkan sistem pendidikan. Salahkan pemerintah dan sebagainya. Satu masalah tunding menunding yang tidak berpenghabisan. Itulah akibatnya bila di besarkan dengan lagu bangau oh bangau. Masing-masing menuding jari sehinggalah si ular. Si ular yang nampak licik, sanggup mengaku salah dan apa yang dia dapat? Si ular yang berani ini akan lebih digeruni oleh semua!


Apa yang aku perhatikan, keadaan kita tidak seperti dahulu. Balik rumah ada emak, sediakan makanan, ingatkan kebersihan, pembelajaran dan macam-macam lagilah. Tetapi kini, anak-anak balik sekolah terus berjumpa pembantu rumah atau terus ke pusah asuhan. Kita tidak pernah peduli tentang apa yang berlaku seharian pada anak-anak. Yang selalu kita dengar, sekolah minta duit. Jadi ibu bapa mula merungut dan terus merungut.

Berbeza dengan menghantar anak ke Sekolah Antarabangsa Vienna (VIS) ini, ibu bapa tidak perlukan persatuan untuk menonjol. Malah setiap kelas, ibu bapalah yang banyak membantu cikgu. Sepanjang aku di sini sering kali mendapat emel daripada ibu-bapa mengenai jadual kelas anak-anak yang boleh di bantu oleh ibu bapa. Dan pada 2 minggu sudah (2hb Februari 2012), cikgu kelas membuat hari terbuka. Ini bukanlah seperti mana hari terbuka kelas di Malaysia, semua sibuk meraikan ibu bapa datang ke kelas. Ini cuma salah satu hari yang mana ibu bapa dijemput datang ke kelas dan melihat sendiri kaedah pembelajaran anak-anak. Ibu bapa ada di dalam kelas tanpa menganggu anak-anak dan cikgu.

Alhamdulillah, aku sempat mengikuti kelas matematik. Silibus memerlukan Gred 1 belajar mengenai masa dan penambahan sehingga 2 digit. Kelas Iman di pecahkan kepada 4 kumpulan terdiri daripada 5 orang murid. Dan di dalam kelas terdapat 2 murid yang agak advance belajar sendiri.

Antara bapa yang membantu
 Antara yang menarik ialah, ibu bapa (sukarelawan) yang membantu dapat mengajar menggunakan kaedah dia sendiri. Disini lebih memupuk anak-anak untuk berkomunikasi. Patutlah aku selalu di tegur oleh anak-anak kat VIS ni. Mulanya ingat anak-anak mat salleh ni memang peramah. Rupanya sistem pembelajaran mereka secara tidak langsung membuatkan anak-anak tidak rasa kekok bersembang dengan orang yang lebih dewasa. Mereka bukan setakat berkomunikasi dengan cikgu sahaja.

Sesi pembelajaran menggunakan macbook
Anak-anak juga mempunyai waktu di dedahkan dengan pembelajaran sendiri menggunakan komputer. Masing-masing nampak tidak terlalu stress dengan duduk tegak di meja mendengar apa yang cikgu ajar. Berbaloilah dengan yuran yang dibayar.

Bersama cikgu kelas
Kalau menggunakan kaedah ini, rasanya sekolah di Malaysia yang satu kelas lebih 40 orang pun boleh buat. Dengan syarat ibu bapa turut sama terlibat membantu cikgu. Tolak tepi yuran sekolah dan gaji cikgu, sebabnya kita membantu anak-anak kita sendiri.

2 komen