Featured Post

Deepavali Celebration 2026 di Dubai: Malam Penuh Warna Bersama Keluarga

Sambutan Deepavali 2026 di Dubai dengan muzik live dan hiasan perayaan

Ahad lalu, 15 November 2026, saya bersama Syaya dan Irfan menghadiri sambutan Deepavali Celebration 2026 di Kris With A View Restaurant, Park Regis Kris Kin Hotel, Bur Dubai.

Majlis yang bermula pada jam 3.00 petang ini dianjurkan oleh Kedutaan Malaysia di Abu Dhabi dan Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai. Tujuannya untuk meraikan kepelbagaian budaya serta mengeratkan hubungan dalam kalangan komuniti Malaysia di UAE.

Disambut dengan muzik secara langsung

Ketibaan tetamu diiringi muzik secara langsung daripada sekumpulan pemuzik yang berpakaian ala Punjabi. Saya tidak pasti nama muzik atau persembahan tersebut. Pada pendengaran saya, rentaknya macam paluan kompang untuk menyambut tetamu, cuma para pemuziknya turut menari. Memang terasa meriah sebaik sahaja kami melangkah masuk.

Pemuzik dan penari menyambut tetamu di pintu masuk sambutan Deepavali

Persembahan anak-anak warga Konsulat

Antara acara yang menarik perhatian saya ialah persembahan daripada anak-anak warga Konsulat Malaysia di Dubai. Mereka tampil dengan pakaian tradisional yang berwarna-warni. Seronok melihat mereka mengambil bahagian dan menambah kemeriahan majlis.

Persembahan itu mengingatkan saya kepada Nuqman, Iman dan Irisa yang dahulu turut membuat persembahan apabila ada acara Malaysia semasa kami tinggal di Vienna, Austria.

Anak-anak membuat persembahan di sambutan Deepavali Konsulat Malaysia di Dubai

Belajar cara menikmati pani puri

Satu lagi pengalaman menarik ialah mencuba pani puri. Chef menyediakan hidangan ini dan turut menunjukkan kepada tetamu cara untuk menikmatinya. Menarik juga apabila dapat melihat cara hidangan ini disediakan dan belajar menikmatinya terus daripada chef.

Ketibaan tetamu kehormat

Majlis turut menerima kehadiran Datin, isteri Duta Besar Malaysia ke UAE. Ketibaan beliau diiringi oleh Konsul Jeneral Malaysia di Dubai. Kehadiran tetamu kehormat ini menambah seri sambutan pada petang itu.

Ketibaan tetamu kehormat diiringi Konsul Jeneral Malaysia di Dubai

Persembahan Perwakilan Abu Dhabi

Selain persembahan anak-anak warga Konsulat di Dubai, rakan-rakan dari Perwakilan Malaysia di Abu Dhabi turut membuat persembahan. Majlis seperti ini memberi peluang kepada komuniti Malaysia untuk berkumpul dan meraikan perayaan bersama, walaupun menetap di emiriah yang berbeza.

Persembahan oleh Perwakilan Malaysia di Abu Dhabi sempena sambutan Deepavali

Finalis pakaian terbaik lelaki

Acara turut menampilkan pertandingan pakaian terbaik. Saya sempat merakam lima finalis lelaki, tetapi tidak sempat mengambil gambar finalis wanita. Jadi, kali ini yang dapat dikongsikan hanyalah foto para finalis lelaki.

Tahniah kepada semua pemenang pakaian terbaik!

Lima finalis lelaki pertandingan pakaian terbaik bersama pengacara majlis

Kenangan kami bertiga

Bagi saya, bahagian paling istimewa ialah dapat hadir bersama Syaya dan Irfan. Kami sempat bergambar di hadapan latar Deepavali Celebration 2026. Satu kenangan keluarga yang sederhana, tetapi bermakna.

Syaya, Is dan Irfan bergambar bersama di Deepavali Celebration 2026

Sambutan ini mengingatkan saya bahawa perayaan budaya juga boleh menjadi ruang untuk saling mengenali dan mengeratkan persahabatan. Terima kasih kepada Kedutaan Malaysia di Abu Dhabi dan Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai atas penganjuran majlis yang meriah ini.

Sebelum ini saya turut berkongsi pengalaman menghadiri Taste of Malaysia di Dubai, serta catatan tentang taklimat konsular Malaysia di Dubai.

Nota: Beberapa gambar dalam hantaran ini telah diproses menggunakan AI untuk pelarasan format dan penampilan.

Ulasan

  1. Kalau uncle ni komfon ikut menari. ni.... hehehe

    BalasPadam
  2. wow meriah sgt ni!! trademark msia kan as multi racial country so kita memang raikan all the celebrations laaa

    BalasPadam
  3. Meriahnya suasana sambutan Deepavali di perantauan! Seronok tengok komuniti Malaysia di UAE berkumpul macam ni. Paling menarik part chef ajar cara makan pani puri tu memang pengalaman yang best. Terima kasih berkongsi gambar-gambar yang cantik, terasa kemeriahannya sampai ke sini

    BalasPadam

Catat Ulasan